5 Hadis Palsu Paling Popular di Kalangan Masyarakat Malaysia

Sebenarnya, ada banyak amalan atau kepercayaan masyarakat Muslim di negara kita ini yang disebarkan serta mungkin juga diamalkan – yang berpunca daripada hadis atau kepercayaan palsu.


(gambar sekadar hiasan : tuntutlah ilmu sehingga ke negeri cina)

Masalah hadis palsu ini memang cukup sukar dibendung kerana sesiapa saja boleh mula mengarang sendiri hadis yang pada dasarnya kelihatan logik, tetapi setelah disemak jelas tidak benar. Rasulullah saw. sendiri melarang kita menggunakan nama Baginda dalam keadaan tidak benar, walaupun tujuan kita baik. Mereka-reka sesuatu dengan tujuan membantu atau memberi kesedaran menjadi punca utama kenapa terlalu banyak hadis palsu bertebaran, apatah lagi pada zaman informasi ini.

Berikut adalah 5 hadis atau kepercayaan palsu yang dapat kami kumpulkan beserta sedikit huraian dan rujukan, sekurang-kurangnya dapat membantu memberikan anda sedikit pencerahan berkenaan beberapa perkara asas yang menjadi kepercayaan kita selama

1. Tuntutlah ilmu hingga ke negeri Cina/China/Liang Lahad
tuntut ilmu ke cina

Hadis penuh yang kerap kali dikongsikan berbunyi : Dari Anas ra. bahawasanya Nabi saw. bersabda : “Tuntutlah ilmu walaupun di negeri Cina, kerana menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada para penuntut ilmu kerana gembira dengan perbuatan mereka yang menuntut ilmu.” (H.R. Ibnu Abdil Bar)

Perlu diberitahu yang dua hadis ini adalah sebuah hadis palsu. Walaupun niatnya baik untuk disebarkan bagi menggambarkan kesusahan seseorang dalam menuntut ilmu, hadis ini adalah hadis rekaan yang kerap kali disebutkan di kalangan masyarakat Muslim negara kita.

Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin telah pun mengesahkan tentang status hadis ini melalui tulisannya pada tahun 2007 dan juga di dalam buku beliau yang bertajuk “Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya.” (rujukan)

2. Tidak elok campur makanan darat dan laut sekaligus

Siapa biasa mengamalkan amalan ini? Pasti ada kan, kerana kita seolah-olah boleh nampak wujud logiknya di situ. Bagaimanapun, jika kita baca dan kaji betul-betul, tidak wujud sebarang larangan daripada Rasulullah saw. berkenaan isu ini yang kerap kali akan kedengaran bila kita berbicara tentang pemakanan.

Tidak ada larangan untuk kita daripada makan ikan, sotong, ketam dan udang sekali dengan ayam, lembu, kambing atau segala jenis daging haiwan yang hidupnya di darat.

Bagaimanapun, ada hadis yang lebih baik untuk kita ikut berkenaan isu ini. Hadis itu berbunyi ; “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya. Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.” – Riwayat al-Tirmizi (2380). Jadi, beringatlah – makan jangan sampai kita tersandar kekenyangan.

3. Tidur selepas Subuh/Asar boleh menyebabkan gila

Ada dua hadis yang popular dan kerap disebarkan berkenaan amalan tidur pada waktu subuh dan asar. Salah satu hadis tersebut berbunyi : “Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri” sementara ada ramai yang mempercayai Rasulullah saw. melarang kita tidur selepas subuh.

Setelah dirujuk beberapa pandangan, jelaslah tidak wujud sebenarnya tegahan atau larangan yang mutlak disebutkanRasulullah saw. berkenaan amalan tidur selepas subuh atau pada waktu asar. Cuma, adalah lebih baik seseorang itu mengisi masanya selepas subuh dengan amalan-amalan yang baik.

Sementara itu, ada yang mempercayai amalan tidur selepas asar mampu membuatkan seseorang itu hilang akal atau gila. Tidak ada larangan sekiranya anda merasakan perlu tidur pada waktu asar.

Kita perlu faham bagaimana membezakan larangan dengan cadangan, agar kita dapat memahami konteks sebenar sesuatu cadangan itu diberikan. Adalah lebih baik kita tidak tidur pada dua waktu tersebut kerana dua waktu tersebut termasuk pada waktu siang, dengan waktu siang adalah waktu mencari rezeki atau bekerja.

4. Terimalah nasihat walau dari seorang pelacur

Ada sebuah hadis palsu yang cukup popular yang gemar disebarkan oleh masyarakat kita berkenaan penerimaan nasihat oleh diri kita, walaupun pada waktu tersebut kita sedang dinasihatkan oleh seorang pelacur.

Pertama kali perlu diberitahu ayat yang kerap disebarkan itu tidak ada asasnya dan sumbernya. Bagaimanapun, dikhuatiri bagi mereka yang terpedaya, kita akan tersalah anggap berkenaan tujuan ayat tersebut.

Walaupun nasihat yang diberikan oleh seorang pelacur itu betul dan niatnya juga baik, Allah swt. tidak menyukai seseorang yang menasihatkan atau menegur tetapi pada masa yang sama berdegil tidak mahu mengubah dirinya, mengikut apa yang diucapkannya.

Ini bermaksud, setiap kata-kata itu perlu dituruti dengan perbuatan kerana berkata tanpa beramal sehingga kekal berada dalam keadaan mungkar, adalah satu sifat yang layak dicela. Mungkin peratusan pelacur hendak menasihatkan kita agak rendah untuk benar-benar berlaku, tetapi yang penting kita perlu sedar berkata tanpa bertindak, menasihat tanpa beramal, adalah satu perbuatan sia-sia – walau macam mana bagusnya nasihat kita itu.

5. Payung emas bagi isteri yang bermadu / membenarkan suami berkahwin lain

Popular kan pendapat ini? Ayat ini kerap disebutkan sebagai satu galakan kepada pihak wanita supaya membentuk diri mereka menjadi seorang isteri dan ibu yang solehah, daripada aspek duniawi dan juga persediaan untuk ke alam akhirat…dengan membenarkan suami mereka berkahwin lebih seorang.

Bagaimanapun, tidak wujud sebarang dalil atau hujah yang membenarkan kepercayaan ini, sekiranya dikaji dalam Al-Quran dan juga hadis. Dari mana datangnya kepercayaan berkenaan payung emas ini? Sukar untuk kami buktikan dari mana sumbernya populariti hadis ini, yang dikatakan melibatkan sebuah kumpulan ajaran sesat yang menggalakkan poligami di antara ahli ajaran mereka.

Lagipun, sekiranya kita berjaya ke syurga – janji Allah swt. bukan setakat payung, nak istana emas atau duduk atas kerusi emas sekalipun boleh. Jadi usahlah kita kelirukan pemikiran kaum wanita kita dengan payung emas, hanya kerana suami mahu bermadu. (rujukan)


sumber : iluminasi
http://www.kepohkuat.com/5-hadis-palsu-paling-popular-di-kalangan-masyarakat-malaysia/

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==