Arab Saudi gantung pengadil FIFA atur perlawanan

Arab Saudi menggantung seumur hidup pengadil, Fahad Al Mirdasi kerana dakwaan mengatur perlawanan, seminggu sebelum dia dijadualkan terbang ke Russia untuk bertugas mengendalikan Piala Dunia 2018, umum Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), sebentar tadi.


Al Mirdasi dikatakan terbabit dalam tawaran mengatur perlawanan pada Sabtu lalu membabitkan aksi final Piala Raja - bagi pihak kelab Al Ittihad, kata SAFF.

Sehubungan itu, SAFF sudah menghantar laporan kepada FIFA dan mahukan badan induk itu mengeluarkan namanya daripada senarai petugas Piala Dunia.

Pengadil berusia 32 tahun itu dikatakan berhubung dengan Ketua Al Ittihad, Hamad Al-Senaie, yang dikatakan terus menyerahkan mesej melalui aplikasi WhatApp kepada pegawai SAFF sebelum menyerahkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa.

Al Mirdasi kini diletakkan di bawah kawalan polis.

Al Ittihad berdepan Al Faisaly dalam aksi final Piala Raja di Jeddah King Abdullah Sports City, yang berkesudahan dengan kelab itu muncul juara selepas tambahan masa dalam perlawanan yang dikendalikan bekas pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), Mark Clattenburg.

Clattenburg, yang dilantik sebagai Ketua Pengadilan SAFF pada tahun lalu, menggantikan Al Mirdasi untuk mengendalikan perlawanan berkenaan.

Al Mirdasi dilantik sebagai pengadil FIFA sejak 2011 dan secara rasmi dilantik bertugas di Piala Dunia Russia 2018 pada tahun lalu. - Reuters


sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/05/426443/arab-saudi-gantung-pengadil-fifa-atur-perlawanan
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==