Anwar ibrahim: Usah 'bersihkan' orang teraniaya

Langkah pembersihan termasuk membabitkan penjawat awam harus dikendalikan dengan lebih teliti supaya tidak mengorbankan individu yang sebelum ini sekadar menurut perintah pihak tertentu.


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menitipkan pesanan itu, berkata pertimbangan sedemikian wajar diutamakan kerajaan bagi memastikan tatacara pengurusan yang saksama.

"Tetapi kalau nyata, (individu terbabit) ada agenda lebih daripada itu (bukan menurut perintah), tentu kita harus (mengambil tindakan) lebih keras.

"Pemilihan Jemaah Menteri juga harus lebih teliti. Justeru, saya kira Tun Dr Mahathir Mohamad ambil masa lebih panjang daripada biasa untuk tentukan perkara ini supaya tidak tersasar daripada hala tuju," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro Awani, hari ini.

Digugurkan daripada sebarang pertuduhan jenayah dan dibebaskan dari penjara, Anwar menyifatkan tanggungjawab bukan keistimewaan untuk merebut kuasa serta kedudukan, sama ada dengan memanipulasi pihak tertentu atau secara langsung.

Katanya, benak pemikiran sedemikian wajar disisihkan daripada amalan seharian kerana ia sekadar mengembalikan rakyat ke UMNO 2.0 sehingga menyaksikan pelbagai ketirisan dan salah laku.

"Setakat ini, saya lihat Dr Mahathir tegas dalam perkara ini. Walaupun PKR dapat jumlah kerusi lebih besar (pada Pilihan Raya Umum Ke-14), bidang kuasa (melantik Jemaah Menteri) masih milik Perdana Menteri.

"Oleh itu, beri ruang untuk beliau mengatur dan mengendalikannya. Saya sudah maklumkan kepada Dr Mahathir bahawa tiada keperluan untuk berada dalam Kabinet.

"Bagaimanapun, saya akan tetap berada di sisi rakyat untuk memastikan agenda pembaharuan tidak tergelincir daripada landasan sewajarnya," katanya.

Mengulas percaturan dasar ekonomi negara, Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan, berkata cukai adalah fasa kedua, sebaliknya keutamaan ketika ini adalah langkah penjajaran semula aspek belanjawan dan membasmi sebarang ketirisan.

Pendekatan itu, katanya, berupaya memberikan penjimatan antara RM15 bilion hingga RM20 bilion, sekali gus menolak kemungkinan untuk negara melaksanakan cukai tambahan bagi menampung pendapatan.

"Saya yakin rakyat bukan bantah cukai, sebaliknya bantah cukai dinaikkan tetapi pembaziran berleluasa, manakala segelintir pemimpin menjadi kaya raya," katanya.

Menangani kegusaran segelintir pihak, Anwar berkata, agenda memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera supaya tidak terus menjadi kelompok rakyat termiskin sentiasa menjadi keutamaan Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, katanya, agenda pembaharuan dirintis PH ketika ini tidak boleh membatalkan perjanjian dan muafakat yang termeterai dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya tidak fikir Malaysia boleh bertapak, sihat, segar sebagai negara demokrasi jika orang Melayu rasa terpinggir, malah perkara ini ditekankan dalam dialog dengan teman DAP serta masyarakat Cina.

"Keprihatinan ketika ini adalah supaya jangan ada penindasan terhadap mereka (Cina). Pendekatan kita ialah masyarakat Melayu yang terdampar dan termiskin diberi hak pendidikan, kesihatan, perumahan lebih baik.

"Kita mempunyai keupayaan kewangan jika tidak dirompak oleh segelintir individu, justeru kena berwaspada terhadap program ekonomi yang bakal direncana supaya sentiasa berada pada landasan dasar sewajarnya," katanya.


sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/426661/usah-bersihkan-orang-teraniaya#cxrecs_s

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==