Lisdawati: 'Tak mengaku hamil sebab segan'

Pelakon Lisdawati menjelaskan dia tidak berniat menyembunyikan kehamilan bagi mengelak orang lain terutama kru produksi risau dengan dirinya.


Akui isteri pengarah dan pelakon, Fauzi Nawawi ini, dia tidak mahu menyusahkan teman yang sama-sama bekerja di lokasi apatah lagi dirinya masih bertenaga biarpun kandungan sudah memasuki bulan ketujuh.

"Kalau tengok saiz kandungan, memang kecil hingga ketika saya menjayakan penggambaran drama Mr Grey, kru produksi tidak sedar saya hamil trimester pertama.

"Orang yang perasan fizikal saya berubah pun tidak menegur sebab mungkin mereka menyangka ia perubahan biasa. Kebetulan, saya membawakan watak ibu, jadi tak perlu pakai persalinan yang menyerlahkan bentuk badan.

"Ketika terima tawaran, saya tidak beritahu diri ini hamil. Bukan apa, bersandarkan pengalaman lalu, rata-rata semua orang sangat prihatin sampai saya naik segan," katanya kepada BH Online.

Lisdawati berkata, sudah menjadi tabiatnya tidak mahu orang lain bersusah payah hanya disebabkan dirinya berbadan dua.

Mengenai jantina anak keempatnya itu, doktor mengesahkan dia dan suami bakal menimang bayi lelaki yang dijangka dilahirkan selepas Aidilfitri.

Tambah Lisdawati, dia masih aktif melakukan aktiviti lasak seperti berbasikal namun semuanya dibuat mengikut nasihat doktor.

Tiga minggu lalu, Lisdawati berbasikal sejauh 10 kilometer di Putrajaya. Baru-baru ini, Lisdawati diundang Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) menjayakan program My Town Night Ride bersama Mike Bikes di ibu negara.

Lisdawati berkata, peserta lain terkejut melihat dia mampu mengayuh basikal biarpun sarat mengandung.

"Namun, sebelum berbasikal, saya pastikan ciri keselamatan dipatuhi. Saya seronok kerana kita dapat meneroka lokasi menarik termasuk Dataran Merdeka dan Bukit Nanas," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Lisdawati baru selesai menjalani penggambaran drama Makmum Yang Paling Aku Cinta yang sedang disiarkan HyppTV.


sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/05/426379/tak-mengaku-hamil-sebab-segan#cxrecs_s
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==