Ara kini tauke katering

Penyanyi Ara Johari belum mempunyai perancangan untuk membuka restoran atau kafe, meskipun perniagaan katering yang diusahakan keluarganya mendapat sambutan ramai.



Pemilik nama sebenar, Nurfarrah Izzatie Johari, 20, itu berkata, sambutan semakin memberangsangkan sejak perniagaan yang diusahakan lima tahun lalu itu dijenama semula sebagai Ara's Kitchen.

Kata pelantun lagu Bunga itu, ilham untuk meletakkan Ara sebagai tanda niaga dicetuskan ibu bapanya yang menganggap nama itu lebih komersial.

"Sebenarnya emak dan ayah memang pakar masakan Negeri Sembilan. Boleh dikatakan segala jenis masakan dan lauk, terutama masak lemak cili padi mendapat sambutan.

"Perniagaan kami juga kini beroperasi di tempat yang lebih besar di Shah Alam untuk memudahkan lagi proses penyediaan makanan, terutama pada majlis besar," katanya.

Ara berkata, walaupun keluarga masih tinggal di Negeri Sembilan, ia bukan masalah untuk berulang-alik ke Shah Alam bagi menguruskan keperluan di dapur.

"Saya tidak menyangka selepas membuat penjenamaan baharu pada akhir tahun lalu, lebih ramai pelanggan mendapatkan khidmat kami. Alhamdulillah, di atas rezeki ini," katanya kepada BH Online.

Biarpun sibuk dengan aktiviti nyanyian terutama pada hujung minggu, Ara mengakui, tetap turun padang membantu dari segi pengurusan dan pentadbiran.

"Ikutkan jadual saya agak sibuk. Mujur, kami ada beberapa petugas sambilan yang cekap. Saya seboleh-bolehnya akan cuba menolong emak dan ayah jika tiada urusan lain," katanya.


sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/05/422815/ara-kini-tauke-katering
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==